Friday, July 25, 2008

Sekadar renungan jumaat untuk ingatan...


Di dalam hidup manusia, yang penting ialah BERKAT. Bila hidup kita berkat, diri ini akan selamat. Apabila diri selamat, rumahtangga jadi sepakat. Apabila rumahtangga jadi sepakat, masyarakat jadi muafakat. Apabila masyarakat jadi muafakat, negara kita menjadi kuat. Apabila negara menjadi kuat, negara luar jadi hormat. Apabila negara luar jadi hormat, permusuhan pun tersekat. Apabila permusuhan tersekat, pembangunan pun meningkat. Apabila pembangunan pun meningkat, kemajuan menjadi pesat.



TETAPI AWAS, apabila pembangunan meningkat, kemajuan menjadi pesat, kita lihat bangunan naik bertingkat-tingkat. Ditengah-tengah itu, tempat maksiat tumbuh macam kulat. Apabila tempat-tempat maksiat tumbuh macam kulat, KETIKA ITU manusia mula mengubah tabiat. Apabila manusia telah mengubah tabiat, ada yang jadi lalat ada yang jadi ulat. Apabila manusia dah jadi ulat, sembahyang makin hari makin liat. Apabila sembahyang jadi liat, orang baik ada yang bertukar jadi jahat. Apabila orang baik bertukar jahat, orang miskin pula nak kaya cepat. Apabila orang miskin nak kaya cepat, orang tua pula nak mati lambat. Apabila orang tua nak mati lambat, tak dapat minum madu telan jerla minyak gamat.




Yang lelaki, budak budak muda pakai seluar ketat. Semua nak tunjuk kuat. Bila berjudi, percaya unsur kurafat. Tapi hidup pula yang melarat. Tali kasut dah tak berikat. Rambut pun jarang sikat. Yang perempuan, pakai mini sekerat. Suka pakai baju ketat.. Suka sangat menunjukkan pusat. Hingga tak pedulikan lagi batasan aurat. Pakai pulak yang singkat-singkat. Kadang-kadang ternampak benda 'bulat'. Bila jadi macam ini, siapa lihat pasti tercegat. Silap gaya jadi gawat, bohsia bohjan lagi hebat.





Duduk jauh berkirim surat. Bila berjumpa, tangan berjabat Kemudian pakat lawan peluk siapa erat. Masa tu, nafas naik sampai tersekat-sekat. Usah peduli agama dan adat. Usah takut Allah dan malaikat. Yang penting apa kita nak buat? Kita 'bukti' lah kita buat. Akhirnya perut kempis dah jadi bulat. Apabila perut kempis dah jadi bulat, maka lahirlah pula anak-anak yang tak cukup sifat. Bila anak-anak tak cukup sifat, jam tu kita tengok bayi dibuang di merata tempat.

MAKNANYA KETIKA ITU, IBLIS MULA MELOMPAT. Dia kata apa? Habis manusia dah masuk jerat. Habis manusia telah tersesat. Inilah dia fenomena masyarakat.





Oleh itu wahai saudaraku dan para sahabat, Marilah kita pakat mengingat, Bahawa dunia hari ini makin singkat, Esok atau lusa mungkin kiamat, Sampai masa kita semua akan berangkat! Berangkat menuju ke negeri akhirat. Di sana kita akan ditanya apa yang kita buat. Masa tu, sindri mau ingat. Umur mu banyak mana mu buat ibadat...? Zaman muda mu, apa yang telah mu buat...? Harta benda anta, dari mana anta dapat...? Ilmu anta, adakah anta manafaat...? Semoga ianya dapat mengingatkan kita supaya segera meninggalkan maksiat dan memperbanyakkan ibadat.


(Petikan ucapan Ustaz Hj. Akil Hayy Rawa)

Wednesday, July 23, 2008

Kebimbangan mula menjadi nyata


Seperti yang dinyatakan dalam posting sebelum ini mengenai kebimbangan peningkatan kos sara hidup, hari ini 24.7.2008 akhbar Berita Harian melaporkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah mengeluarkan laporan mengenai peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP) dan kadar inflasi dalam negara. Penelitian saya sebelum ini akhirnya sedikit demi sedikit menjadi kenyataan dan berkemungkinan ianya akan terus menjadi bertambah buruk. Dengan adanya petunjuk-petunjuk seperti ini kesan yang ketara akan dirasai oleh rakyat kebanyakan. Sudah tentulah ianya akan mengurangkan kuliti hidup rakyat dan ekonomi negara juga akan merudum. Saya ingin memetik definisi pembangunan lestari yang dinyatakan dalam Persidangan Rio, 1992;- "something which must improve the quality of life, improve the living and working environment of all people, provide adequate shelter for all, create sustainable energy, transport and construction activities and stimulate the related human resources development and capability building required to achieve the goal".


Daripadanya kita dapati negara kita masih memerlukan masa yang lama untuk mencapai pembangunan lestari. Apa yang menjadi kebimbangan adalah kita berhasrat untuk maju kehadapan mencapai pembangunan lestari tetapi langkah kearahnya seolah-olah semakin mengundur ataupun terkebelakang. Marilah sama-sama kita fikirkan bersama.


IHP Jun naik 7.7 peratus, inflasi diramal kekal tinggi

Oleh Abdul Razak Raaff dan Kamarulzaidi Kamisbhnews@bharian.com.my


PUTRAJAYA: Indeks Harga Pengguna (IHP), pengukur kadar inflasi pada Jun lalu meningkat kepada 7.7 peratus daripada 3.8 peratus pada bulan sebelumnya berikutan kenaikan harga petrol dan diesel pada 5 Jun lalu dengan purata IHP bagi enam bulan pertama tahun ini 3.7 peratus.Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, berkata peningkatan IHP disebabkan kenaikan indeks makanan, minuman bukan alkohol, perumahan, air, elektrik, gas, kesihatan, pengangkutan, pendidikan, restoran, hotel dan pelbagai barangan dan perkhidmatan.Katanya, indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol pada bulan lalu meningkat 10 peratus dan bukan makanan naik 6.7 peratus."Kenaikan disebabkan peningkatan harga barangan keperluan seperti beras, roti, susu, sayuran, daging dan ikan. Ini juga berpunca daripada ketidakcekapan sistem pengedaran barangan keperluan harian subsidi tidak sampai kepada pengguna di kawasan luar bandar," katanya pada sidang media bagi mengumumkan data itu di pejabatnya, di sini semalam.


Shahrir berkata, kelemahan sistem pengedaran menyebabkan harga barang keperluan seperti tepung gandum biasa, beras Super Special Tempatan (SST) 15 peratus hancur, minyak masak di kawasan luar bandar meningkat."Saya sering mendapat aduan bahan makanan subsidi sukar diperoleh dan jika ada pun cepat habis. Ini biasanya berlaku di luar bandar akibat sistem pengedaran di semua peringkat hingga kepada peniaga," katanya.Sehubungan itu, kertas cadangan menubuhkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menjadi pengedar utama bekalan barangan keperluan di negara ini bagi menangani masalah sistem pengedaran akan dibentang-kan ke Kabinet tiga minggu lagi."Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka dan Mara menunjukkan minat untuk memainkan peranan secara langsung dalam sistem pengedaran supaya pengguna berpendapatan rendah mudah memperoleh barang keperluan harian subsidi," katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Malaysia Rating Corporation Bhd (MARC), Nor Zahidi Alias, berkata kenaikan tinggi IHP bulan lalu sudah dijangka susulan penstrukturan semula subsidi bahan api serta kenaikan harga barangan makanan.“Kami menjangka inflasi pada bulan ini (Julai) kekal tinggi sekitar tujuh peratus sebelum susut sedikit antara enam hingga tujuh peratus menjelang akhir tahun ini,” katanyaSemalam, Singapura mengumumkan kadar inflasi bagi Jun meningkat 7.5 peratus, tertinggi dalam tempoh 26 tahun, manakala Korea Selatan merekodkan peningkatan 5.5 peratus, kadar tertinggi dalam tempoh 10 tahun.


Kelmarin Bank Pembangunan Asia (ADB) mengunjur kadar inflasi Asia tahun ini secara umumnya dijangka meningkat, didahului Vietnam 19.4 peratus, Indonesia (10.1 peratus), Filipina (7.2 peratus), China (tujuh peratus), Thailand (6.1 peratus), Singapura (5.8 peratus), Hong Kong (4.7 peratus), sementara Malaysia dan Korea Selatan masing-masing 4.1 peratus.

Saturday, July 19, 2008

Peningkatan kos hidup VS pembangunan lestari











Hari sabtu biasanya bagi yang bekerja makan gaji adalah merupakan hari cuti. Ada juga yang bekerja pada hari ini.Biasanya orang yang berniaga ataupun yang kerja tak ikut time. Tapi rata-ratanya ramai la yang bercuti. Hari cuti biasanya akan diperuntukkan untuk melakukan aktiviti keluarga, berehat, melancong dan sebagainya. Begitu juga saya.Sabtu dan ahad diperuntukkan sepenuhnya untuk keluarga dan aktiviti masyarakat. Awal seawal jam 7.45 pagi lagi dah ke pasar Bandar Baru Bangi (BBB) untuk membeli keperluan untuk tempoh seminggu. Biasnya ramai juga la orang time ni.Kalau awal bulan lagi la ramai. Cuma sekarang ni orang dah agak berhati-hati dalam berbelanja. maklumlah dengan peningkatan harga bahan bakar maka harga barang makanan juga turut merasa kesannya. Kesannya jelas dapat dilihat pada hari ini. Bayangkan kalau beberapa bulan lepas, harga ayam 1 kg masih boleh dapat bawah daripada RM 6.00 tetapi tadi harga ayam 1 kg telah mencapai harga RM 6.80. Itu baru ayam belum lagi ikan, ketam, udang, sotong dan lain-lain makanan laut. Begitu juga dengan harga sayur-sayuran dan bahan-bahan kering seperti bawang, kentang, kekacang dan sebagainya turut merasai kesan kenaikan.
Saya sempat juga berbual-bual dengan peniaga di pasar. Mereka juga turut mengeluh dengan keadaan yang berlaku sekarang. Perniagaan semakin merosot kerana orang ramai semakin berhati-hati dalam berbelanja. Peniaga juga tidak tergamak menaikkan harga sesuka hati kerana tertakluk kepada peraturan dan undang-undang kerajaan. Tapi apa nak buat dah barang sampai harga tinggi.Takkan mereka nak jual dengan harga lama.Dah tentu keuntungan akan merosot dan mereka terpaksa menanggung bebannya. Jalan terakhir ialah terpaksa jugalah mereka naikkan harga barang. Jadi keadaannya akan bertambah parah apabila masing-masing akan berlumba untuk naikkan harga barang yang akhirnya akan menekan pengguna yang rata-ratanya adalah rakyat kebanyakan. Saya melahirkan kebimbangan melihat situasi ini kerana baru bulan pertama kenaikan harga minyak sudah nampak kesannya kepada rakyat jelata. Bagaimana pula bulan-bulan yang akan mendatang.
Kesan ketara akan dirasakan oleh golongan berpendapatan rendah seperti nelayan, petani, pekebun, penoreh, mereka yang berpendapatan tidak tetap, penggangur, pesara, graduan yang masih mencari pekerjaan, peniaga-peniaga kecil bahkan kakitangan kerajaan juga. Ianya secara tidak langsung akan merencatkan tahap kualiti hidup rakyat serta usaha mencapai kapasiti modal insan yang cemerlang akan terkubur. Ini akan menjejaskan sistem sosial yang sedia wujud didalam negara kita. Saya ingin merujuk kepada definisi mengenai apa yang dikatakan sebagai Pembangunan Lestari yang dikeluarkan oleh World Commission on Environment and Development dalam laporannya Our Common Future (1987). "Sustainable development is development which meets the need of present without compromising the ability of future generations to meet their own needs " .See e.g. Holmberg ed (1992) dalam bukunya Making Development Sustainable, Chapter 1 dan Reed ed (1997) dalam bukunya Structural Adjustment, the Environment and Sustainable Development, Chapter 2 menjelaskan bahawa terdapat 3 aspek penting dalam pembangunan lestari iatu:


  1. Aspek Ekonomi (Economic)

  2. Aspek Alam sekitar (Environmental)

  3. Aspek Sosial (Social)

Saya ingin menyentuh berkenaan aspek sosial dimana dalam kedua-dua buku berkenaan menjelaskan bahawa "A socially sustainable system must achive distributional equity, edequate provision of social services including health and education, gender equity, and political accountablity and participation" Saya bimbang kalau dengan peningkatan kos hidup akan memberi kesan yang buruk terutamanya kepada aspek pendidikan anak-anak serta kesihatan dan yang penting juga kestabilan politik dalam negara. Kalaulah krisis ini berterusan pastilah sesuatu harus dilakukan dan difikirkan bersama. Oleh itu dapatlah dinyatakan disini bahawa kesan peningkatan kos hidup akan memberi kesan langsung usaha negara mencapai pembangunan lestari. Adalah menjadi harapan agar perkara ini akan sama-sama kita fikirkan untuk kebaikan kita bersama bagi menjadikan negara ini mencapai sebuah pembangunan yang seimbang dan lestari.

Friday, July 18, 2008

Selamat berblog

Selamat datang ke blog Dunia lestari. Hari ini 19 Julai 2008 adalah merupakan hari pertama posting untuk blog ini. Blog ini merupakan blog ke 2 saya dan ianya diciptakan khusus bersempena dengan subjek Perancangan dan Pembangunan Lestari (SKAD 6113) dalam kursus Sarjana Sains Pembangunan. Terima kasih kepada para pensyarah yang terdiri daripada penyelaras kursus Dr Habibah Ahmad, Prof Madya Abdul Hadi Harman dan Dr Kadir Arifin diatas kesudian kalian semua untuk mengajar dalam kursus ini.

Warga dunia masih dalam kekalutan untuk mencari identiti diri. Dalam kekalutan ini masing-masing terpaksa bersaing antara satu sama lain bagi memenuhi keperluan diri. Dengan peredaran masa dan zaman yang semakin mencabar ini pelbagai cara dan kaedah dilakukan bagi mencapai apa yang dihajati. Kadang-kadang kita akan dapat melihat berlaku pelbagai bentuk penindasan dan kekejaman terhadap manusia, haiwan, alam sekitar dalam kehidupan seharian. Tidak ada garis panduan yang jelas dalam menguruskan hidup. Untuk itu blog ini akan cuba untuk mengupas isu-isu semasa yang berlaku di Malaysia secara khususnya dan dunia secara umumnya dalam aspek pembangunan kearah mencapai kelestarian dalam hidup. Pandangan dan komen dari pembaca sekalian amatlah dihargai. terima kasih