Tuesday, September 16, 2008

Pengguna bijak & lestari- Fahami label barangan elektrik


Fahami label barangan elektrik

Saya memetik tulisan oleh Ratna Devi Nadarajan dalam lama web http://www.malaysiakini.com bertarikh Jul 31, 08 9:03pm. Tulisan ini adalah mengenai sejauh mana pengguna memahami label setiap barangan elektrik yang terdapat dirumah dan dipasaran. Ianya amat membantu kita menjadi pengguna yang bijak serta membantu dalam penjimatan penggunaan tenaga seharian.


Ratna Devi Nadarajan Jul 31, 08 9:03pm

Kami amat mengalu-alukan syor Datuk Marimuthu Nadason, presiden FOMCA tentang pelabelan produk elektrik dan elektronik.

Para pengguna di Malaysia harus diberikan pendedahan di pelbagai peringkat dan lapisan seperti sekolah, institut pengajian tinggi, masyarakat umum, kerajaan, bukan kerajaan dan swasta untuk menghayati kepentingan penjimatan tenaga.

Satu kajian corak penggunaan di kalangan 10,000 pengguna berumur 25 tahun ke bawah pada tahun 2006 telah menunjukkan bahawa hampir 98% daripada mereka tidak mengenali label kecekapan tenaga yang diusahakan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

ST telah membangunkan skim penilaian kecekapan tenaga tersebut untuk peti sejuk. Peti sejuk adalah pengguna tenaga yang paling tinggi di sesebuah rumah – selain daripada penghawa dingin.

Oleh itu adalah wajar untuk menetapkan sistem penilaian kualiti peti sejuk (selain aspek keselamatan) dari segi penggunaan tenaga.

Tetapi sebarang usaha membantu pengguna memilih produk secara bertanggungjawab harus dipromosikan secara meluas. Pendidikan pengguna bukanlah satu proses yang dilakukan sekali sahaja. Ia harus dilaksanakan secara berterusan dan keberkesanan haruslah meningkat.

Satu lagi aspek penggunaan tenaga yang harus ditinjau adalah bahanapi untuk kenderaan. Pengguna di negara-negara maju terutamanya di Eropah ramai menggunakan kereta hibrid atau elektrik.

Indsutri automotif pula telah mengeluarkan kenderaan yang mempunyai kecekapan pembakaran bahanapi yang tinggi.

Di Malaysia pula terdapat pemasaran bahan aditif atau peralatan penjimatan tenaga yang didakwa dapat menjimatkan penggunaan petrol kenderaan.

Peningkatan harga bahanapi, terutamanya petrol, menjadikan pengguna terdesak mencari jalan mengurangkan penggunaan petrol.
Kami di Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia risau aditif petrol atau peralatan tersebut mungkin tidak berkesan dan pengguna tertipu. Ada yang berharga RM300 hingga RM500.

Satu kajian Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat (FTC) ke atas pelbagai aditif dan peralatan penjimatan petrol telah mendapati bahawa hampir kesemua aditif dan peralatan itu tidak berfungsi seperti didakwa.

Salah satu prinsip penggunaan lestari yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) adalah kerajaan harus melindungi pengguna yang bertanggungjawab yang memilih produk atau perkhidmatan yang menyokong penggunaan lestari.

Langkah-langkah yang disyorkan antaranya pembangunan standard dan pensijilan pihak ketiga dan pensijilan produk bagi produk yang menjimatkan bahan, sumber asli dan tenaga.

Kerajaan juga boleh meningkatkan lagi tahap perlindungan pengguna melalui perundangan yang menggalakkan pematuhan terhadap standard untuk produk atau perkhidmatan lestari.

Agensi-agensi yang terlibat dalam pembangunan standard dalam bidang tenaga dan bahan api harus memastikan kaedah ujian dan garis panduan yang dibangunkan tidak disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sebaliknya menyenangkan serta menggalakkan industri dan pengguna memilih produk dan perkhidmatan yang lestari – contohnya membangunkan garis pandauan serta kaedah pengujian yang diikitiraf antarabangsa dan mudah diperolehi.


Ratna Devi Nadarajan adalah setiausaha agung Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

No comments: